Tuesday, August 24, 2010

Perlukah hukuman mati mandatori dikuatkuasakan kepada pembuang bayi?

Kabinet telah memutuskan supaya pembuang bayi dihukum mati mandatori mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, manakala kes percubaan membunuh mengikut Seksyen 307 kanun sama membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun. Keputusan kerajaan itu telah membuka mata banyak pihak yang selama hari ini hanya melihat tanpa usaha yang mencukupi untuk bersama menggembleng tenaga membantu membanteras masalah sosial seperti ini. Kendatipun begitu persoalannya kini adakah dengan melaksanakan hukuman tersebut kita akan dapat menghapuskan masalah pembuangan bayi ini?

Kerajaan pada hari ini sudah buntu untuk memikirkan masalah pembuangan bayi ini. Setiap cadangan ataupun pelaksanaan program – program bagi mencegah gejala pembuangan bayi ini pasti ada sahaja pihak yang tidak berpuas hati dan memandang sinis. Pasti sahaja di serata ceruk – ceruk kampung di dalam kedai kopi atau di mana mana sahaja akan ada yang mempersoalkan tindakan kerajaan dalam mengatasi masalah ini.

Di dalam gagasan media elektronik pula bermacam – macam komentar, forum, kutukan, ayat – ayat sinis dapat dilihat apabila kita mahu membincangkan akan gejala pembuangan bayi ini. Namun amat jarang sekali kita dengar cadangan atau idea – idea yang bernas untuk mengatasi masalah ini.

Berdasarkan faktor –faktor itulah saya tersenyum dan rasa terpanggil untuk mencoret di sini apabila saya terbaca sebuah keratan akhbar yang mana memaparkan luahan seorang ibu yang agak kurang bersetuju dengan pendekatan baru kerajaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori bagi ibu bapa yang bersalah membuang bayi mereka.

Pada pandangan saya ibu tadi hanya takut kepada bayang – bayang sendiri yang mana beliau risau akan hukuman mati mandatori ini terkena kepada sanak saudara terdekatnya. Ini telah menunjukkan secara tidak langsung bahawa manusia ini hanya berani membuat sesuatu kesalahan namun amat takut apabila mahu disabitkan kesalahan dan menerima hukuman.

Sebenarnya gejala pembuangan bayi ini terjadi akibat daripada kurangnya pendidikan agama diterapkan di dalam diri manusia pada hari ini. Kita dapat lihat kebanyakan remaja pada hari ini terutama di bandar – bandar kurang mendapat pendidikan agama yang mana ianya telah menjadi salah satu faktor pendorong mereka melakukan maksiat dan gejala sosial yang lain.

Selain dari itu runtuhnya institusi masyarakat yang mana sudah tidak ada lagi semangat kerjasama dan sifat tanggungjawab di kalangan masyarakat juga telah menjadi salah satu penyumbang terbesar gejala pembuangan bayi ini berlaku. Masyarakat kita pada hari ini sudah tidak ambil peduli apa orang lain lakukan dan mereka lebih mementingkan diri sendiri. Budaya “Tak pa” seperti yang pernah diperkatakan oleh mantan Perdana Menteri kita pada masa dahulu adalah salah satu contoh yang menunjukkan masayarakat kita pada hari ini sudah tidak menghiraukan kesejahteraan sejagat namun mereka hanya sibuk mengejar urusan duniawi.

Jika kita melihat secara literal memanglah pelaksanaan hukuman mati mandatori kepada pembuang bayi agak berat untuk diterima. Namun kita mestilah melihatnya dari sudut yang lebih luas mencakupi pelbagai aspek. Sebagai contoh jika pelaksanaan hukuman ini dapat mengurang dan seterusnya menghapuskan gejala pembuangan bayi ini, jadi kenapa kita tidak laksanakannya? Memang benar kita memang sayangkan semua rakyat Malaysia namun jika insan yang degil dan tidak berperikemanusiaan yang hanya pandai melempiaskan nafsu buas namun tidak berani untuk mengambil tanggungjawab, rasanya lebih elok jika orang – orang sebegini dihapuskan terus dari masyarakat kita.

Tokoh islam juga telah menyokong agar ibubapa yang membuang bayi ini dikenakan tindakan yang keras. Mufti Perak, Datuk Harussani Zakaria di dalam satu temubualnya dengan berita harian mengenai program ‘Baby Hatch’ turut menyokong bahawa bayi – bayi yang tidak berdosa ini dilindungi namun ibubapa ini haruslah menerima hukuman yang keras.
Namun demikian, walaupun pelaksanaan hukuman mati mandatori ini adalah untuk tujuan yang murni, namun pelaksanaannya haruslah dilakukan dengan penuh berhati – hati. Kita tidak mahu lihat nanti berlakunya penganiayaan terhadap orang yang tidak bersalah terjadi akibat daripada pelaksanaan hukuman ini.

Diharapkan pelaksanaan ini bukanlah semata – mata jalan penyelesaian kepada masalah pembuangan bayi ini. Banyak lagi perkara – perkara yang perlu diperbaiki demi untuk menyelesaikan masalah pembuangan bayi yang semakin meruncing ini. Semua genap lapisan termasuklah individu, ibubapa, para guru, masyarakat, pemimpin – pemimpin kerajaan dan swasta serta semua penduduk Malaysia mestilah bergading bahu bekerjasama demi memastikan gejala pembuangan bayi ini dapat dibasmi sepenuhnya.

No comments:

Post a Comment