Selepas hampir ke semua tempat menarik dikunjungi, tibalah si penulis bersama rombongan ke satu tempat yang sukar didapati di tempat – tempat yang lain terutama sekali jika anda warga kota yang sedari kecil tidak pernah melihat keunikan gua di Malaysia.
Kawasan sekeliling yang redup dipayungi hutan hujan tropika memberikan suatu suasana yang nyaman umpama berada di dalam sebuah bilik yang dipasang penyaman udara. Nyaman dan tenang. Itulah gambaran yang paling tepat penulis dapat simpulkan mengenai keadaan di sekeliling Gua Kelam ini.
Di bahagian kiri pintu masuk ke Gua Kelam tersebut terbentang air sungai yang jernih mengalir. Kanak – kanak melonjak kegembiraan bermandi – manda bersama rakan – rakan. Kedinginan air sungai tersebut yang berpunca dari bahagian bukit berdekatan umpama magnet yang menarik si penulis untuk turut serta terjun sambil bermain bersama – sama kanak – kanak itu tadi namun si penulis tidak dapat berbuat demikian kerana ahli rombongan yang lain telah masuk ke dalam Gua Kelam tersebut.
Pertama kali penulis menjejakkan kaki ke dalam gua tersebut telinga si penulis cepat menangkap suatu bunyi yang kuat di dalam gua tersebut. Fikiran si penulis mula berfikir macam – macam. Selangkah demi selangkah penulis berjalan sambil mata liar mencari punca bunyi yang kuat tersebut.
Tiba – tiba mata penulis terpaku melihat bahagian atas permukaan gua tersebut. Mata si penulis tidak berkelip memerhati ke arah satu lubang hitam yang wujud di celah – celah batu permukaan atas gua tersebut.
Penulis diam. Mata dipejam rapat – rapat dan telinga dipasang besar besar cuba untuk mencari punca bunyi tersebut. SAH! Penulis yakin dan percaya bahawa bunyi tersebut datang dari lubang yang penulis nampak terletak di bahagian atas permukaan gua tersebut.
Perasaan si penulis untuk mengetahui lebih lanjut pasal lubang tersebut membuak – buak dan si penulis beriltizam mahu mencari lebih maklumat pasal lubang angin tersebut.
Selepas mencatat beberapa maklumat penulis meneruskan perjalanan. Kewujudan jambatan panjang di dalam gua tersebut memberi keselesaan kepada penulis untuk berjalan dan menghayati struktur dalaman gua kelam ini.
Air sungai yang mengalir dari hulu melalui bahagian bawah gua ini memberikan satu panorama yang menenangkan jiwa kepada setiap pengunjung. Keindahan permukaan gua yang diliputi oleh batu batu ini telah ditingkatkan lagi dengan pantulan cahaya lampu berwarna warni hasil usaha majlis daerah setempat.
Ketika di dalam gua tersebut kamera si penulis dipaksa berusaha keras tanpa henti kerana setiap penjuru bahagian dalam gua ini amat menarik perhatian penulis. Sekeping demi sekeping gambar di ambil sehinggakan rakan – rakan yang menjadi model tidak rasmi kepenatan bergaya di dalam gua tersebut.
Kadang kala permukaan batu – batu yang terdapat di dalam gua tersebut memberikan pelbagai persepsi kepada pengunjung yang hadir. Pernah ada seorang pengunjung memberitahu nampak permukaan batu umpama muka seekor singa, manakala pengunjung yang lain pula mengatakan nampak permukaan tersebut sama seperti muka Robocop yang popular suatu ketika dulu.
Walau apapun gambaran yang mereka nampak penulis percaya semua itu adalah anugerah Allah yang berkuasa melaksanakan apa yang Dia mahu. Apabila berkata mengenai persepsi ini juga fikiran penulis terlintas akan suatu topik di dalam subjek Psychology yang menceritakan mengenai Gestalt iaitu persepsi terhadap sesuatu benda itu berubah berdasarkan kemahiran atau keupayaan seseorang itu melihat sesuatu benda tersebut.
No comments:
Post a Comment